Khamis, 9 Disember 2010

MARI BERAMAL

KUASA NIAT
Itulah besarnya maksud pada pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang NIAT:
“Sesungguhnya amalan-amalan itu bergantung kepada niat” [Al-Bukhari dan Muslim]

    Niat bukan hanya soal menentukan dosa dan pahala di Akhirat.
Niat itu titik mula sebuah amal. Silap sedikit di titik mula, silap besar dan bertambah besar dengan pertambahan jarak dan masa.Seperti sebuah pesawat yang sepatutnya terbang ke Jeddah, bisa sahaja di akhir perjalanan mendarat di Tel Aviv. Segalanya berpunca daripada tersasar beberapa darjah di permulaan kembara. Sikit-sikit lama-lama jadi penyakit. Kesilapan awal yang tidak diperbetulkan.
    Allah mencipta manusia sebagai makhluk percaya. Dia akan bertindak mengikut apa yang dia percaya.  Kepercayaan itu pula letaknya di dalam jiwa. Percaya di dalam, amal dan kerja di luar. Kerja luar adalah terjemahan kerja dalam. Betulkan dalam, eloklah luar. Justeru betulkan hati, tempat letak percaya diri.
Manusia adalah makhluk inside-out. Tetapi manusia suka berniat dengan outside-in.Kerana isteri, isteri tetap sengsara. Kerana bonda, bonda terus derita.
Sebab itu, hanya satu sahaja yang sejahtera diangkat menjadi percaya.Bekerja kerana Allah.
    Bekerja, niatnya biarlah kerana DIA, kerana Allah.
Kerana Allah, kita tidak lupa menjaga kebajikan bonda. Kerana Allah, kita sentiasa ingat keperluan isteri dan keluarga.

HIKMAH BISMILLAH

    Bekerja kerana Allah itu sentiasa menjadi tujuan yang mengawal diri di sepanjang perjalanan mendaki kerjaya. Tidak keliru antara tujuan dan keperluan. Malah menjadikan tujuan, sebagai motivasi untuk memperbaiki keperluan.
    Justeru kita diajar agar memulakan setiap satu perbuatan dengan membaca Bismillah.
“Setiap perkara penting yang tidak dimulakan padanya dengan Bismillah, maka perkara itu terputus” [Hadith riwayat Abu Daud, al-Nasaa'ie, Ibn Majah dan Ibn Hibban di dalam Sahihnya daripada Abu Hurairah]


Terputus daripada tujuan asal yang baik. Terputus daripada Allah.
Seperti layang-layang terputus tali yang jatuhnya entah ke mana.
Itulah hikmah memulakan setiap pekerjaan dengan Bismillah.
Agar setiap kerja, kita kerjakan dengan sedar apakah tujuannya.
Bekerja kerana Allah, kerana Dia!
Bekal titik mula kita bersama…

Renung-renungkan lah...